Halalkah Produk Yang Kita Beli?

Halal adalah isu global yang bukan sahaja melibatkan umat Islam bahkan menarik minat dan penglibatan non-muslim secara besar-besaran. Dari sudut pandangan seorang muslim, fenomena keprihatinan sejagat terhadap status halal semua jenis produk pengguna ini amat melegakan. Kita tidak keseorangan dalam keseriusan memastikan produk yang kita gunakan adalah halal.

Kita amat mengalu-alukan penglibatan dan sumbangan semua pihak dalam kempen dan usaha menghasilkan produk halal ini. Turut dialu-alukan ialah pengeluar dan pengusaha non-muslim justeru mereka juga tidak ketinggalan meneroka penghasilan produk halal malah kelihatan seakan berlumba mendapatkan status halal bagi produk mereka.

Namun di sebalik keghairahan ini kita terdedah kepada beberapa masalah, iaitu:

1. Banyak produk yang ada pengesahan halal tetapi sebenarnya tidak halal.
2. Ada pengeluar memakai logo halal pada bungkusan produk mereka tetapi sebenarnya produk mereka tidak pernah mendapat pengesahan halal.
3. Wujud banyak keraguan terhadap produk keluaran non-muslim yang mendapat pengesahan halal.
4. Terdapat banyak produk kegunaan harian yang seolah-olah terkecuali daripada keperluan pemeriksaan status halal seperti sayuran dan makanan laut segar atau awet.

Ketepatan dakwaan dan perakuan halal tetap menjadi isu kerana kini terlalu banyak bahan yang dijadikan juzuk kandungan dalam pembuatan sesuatu produk. Bahan asas yang dihasilkan melalui proses kimia amat mudah mengelirukan pengguna dan pengeluar produk. Ada pengeluar yang tidak tahu bahawa bahan yang digunakannya adalah berasaskan babi atau berasaskan tulang haiwan yang tidak pasti status sembelihannya.

Turut membimbangkan ialah produk makanan yang menggunakan gelatin sebagai antara kandungan penting pembuatannya. Apakah kita boleh berharap semua pengeluar (khususnya non-muslim) benar-benar memastikan gelatin yang mereka gunakan adalah halal dalam keadaan gelatin 'tidak halal' menguasai bekalan dunia? Kebimbangan ini ditambah pula oleh realiti harga gelatin 'tidak halal' yang jauh lebih murah.

Selain dari itu, kita juga patut prihatin tentang makanan yang kurang terikat dengan keperluan pengesahan halal seperti sayuran segar dan makanan laut segar. Kita biasa melihat penanam sayur non-muslim menggunakan najis babi sebagai bahan dalam baja organik yang dihasilkan. Ramai juga yang memelihara babi dalam kawasan tanaman sayuran atau memelihara anjing yang bebas bergerak di dalam kawasan tanaman. Lawatan ke pengkalan pendaratan ikan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia membuktikan bahawa kebanyakan dataran/lantai pemunggahan dan pengkelasan hasil laut segar dihuni bersama anjing-anjing yang berkeliaran. Bebaskan makanan kita daripada najis mughallazah?

Begitulah juga makanan awet yang diproses oleh pengusaha non-muslim. Meja atau lantai tempat menjemur ikan, udang dan sotong kering kebanyakannya adalah tempat yang bersifat najis. Masih berselerakah kita memakan makanan yang berampaikan ikan, udang dan sotong kering?

Kami di Bazaar Muslimah berasa bertanggungjawab untuk memikul sebahagian kecil daripada tanggungjawab ini. Dengan kemampuan yang terhad kami tampil untuk mengusahakan beberapa produk makanan awet yang kebetulan sumbernya berada di kawasan kami iaitu makanan laut. Nikmatilah beberapa variasi ikan kering, udang kering, sotong kering, ikan salai, udang salai, mee sanggul dan teh herba Misai Kucing 100% pucuk muda.

 
Powered By Blogger | Portal Design By mbiz design © 2009 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top